SEBUAH video yang merakamkan seorang lelaki warga emas berjalan secara bersahaja melepasi Putera dan Puteri Wales di London, tular di media sosial.

Walaupun dengan kawalan keselamatan yang ketat dan kehadiran ratusan media, lelaki itu seolah-olah tidak menyedari kehadiran pasangan diraja tersebut.

Dia berjalan santai di belakang Putera William dan Kate Middleton sambil memegang beg plastik di tangan.

Seorang anggota keselamatan segera menghampiri dan menghentikannya sebentar untuk disoal siasat.

Dia kemudian dibenarkan meneruskan perjalanan selepas menjelaskan sebab bagaimana dia boleh berada di situ. Dia dipercayai baru keluar dari sebuah kedai di kawasan itu.

Insiden itu dikongsi dalam video TikTok oleh pengguna @dionpietrosanti, yang kini sudah menerima lebih 60 juta tontonan.

"Tiada pasukan keselamatan boleh menghalang lelaki ini," kata kapsyen pada video tersebut.

Turut menarik perhatian ramai adalah keprihatinan Kate, yang biarpun kelihatan terkejut namun segera memeriksa untuk memastikan lelaki itu dalam keadaan baik sebelum berlalu pergi.

"Beliau (Kate) memerhatikannya dan tersenyum. Beliau nampak seperti seorang yang berbudi bahasa dan baik hati," komen pengguna TikTok dengan nama Ashmita.

Dalam masa yang sama ia turut menimbulkan kebimbangan dalam kawalan peminat pasangan diraja mengenai kawalan keselamatan.

Rakaman itu dibuat ketika William dan Kate melawat sebuah lokasi di Soho pada petang Jumaat untuk melihat persiapan bagi pertabalan Raja Charles pada Sabtu.